Jika sebelum ini hanya mendengar dan memerhatikan segala informasi dan cakapan dari orang sekeliling mengenai sebuah kedai tayar yang dikatakan agak murah di Selangor.
Tukar Tayar Di Oscar Tyre Klang |
Setelah lebih dua tahun mendapatkan sebuah kereta Bezza 1.3L, dengan tayar dari kilang iaitu Bridgestone Ecopia 175/60/R15, maka kelihatan jangka hayat tayar yang sedang di pakai pada kenderaan tersebut sudah mula menunjukkan tanda tanda untuk kurang sesuai untuk perjalanan jauh.
Kedai Tayar Murah Di Selangor
Maka cubaan untuk membuat tukaran tayar mula berlaku. Memandangkan belum lagi pernah mencuba pembelian tayar di kedai yang boleh dikatakan agak tular beberapa ketika dahulu, apalagi apabila bertanyakan soalan
"mana kedai tayar yang murah ?"
Jawapan klise sering penulis perolehi iaitu Oscar Tayar Bukit Kemuning.
Oscar tyre sdn bhd |
Oleh itu, mari semua kita sambut segala jawapan berkenaan dengan pengalaman sendiri.
Kedai Oscar Tire Bukit Kemuning Selangor ini cukup mudah untuk ditemui apalagi ianya berada di tepi jalan besar yang agak sibuk sekitar Bukit Naga Selangor.
Lokasinya terletak di bangunan paling hujung apabila mula memasuki lorong untuk ke deretan rumah kedai yang ada disitu.
Usai sahaja parkir di kawasan yang disediakan untuk parkir, penulis terus menuju ke bahagian depan kedai. Cukup ramai dengan pelanggan, seumpama menjengah satu kedai makan yang baharu sahaja tular di media sosial.
Penulis teruskan juga demi pengalaman pertama penukaran tayar di Oscar Tyre yang dikatakan murah harganya.
Beratur Panjang kerana Ramai Pelanggan
Penulis dikehendaki untuk beratur di satu barisan yang telah tersedia dengan orang ramai. Sekadar untuk mendapatkan info harga, stok tayar, jenis tayar yang ada. Pastinya yang paling penting adalah harga tayar yang dikatakan agak murah berbanding tempat lain.
Penulis sudah membuat bancian (survey) sendiri untuk jenis tayar 175/65/R15 yang ingin penulis gantikan pada Perodua Bezza 1.3L penulis nanti.
Dari segi jenama, saiz yang ada, ketahanan dan pastinya harga pasaran untuk di bandingkan apabila sampai giliran beratur nanti.
Apabila sudah sampai giliran penulis, penulis mula memberikan inkuiri mengenai saiz tayar yang diinginkan, dan jenis kereta. Pekerja yang sedang berada di hadapan personal computer (pc) terus mencari senarai dalam database komputer tersebut.
Pemilihan Tayar Michelin XM2 175/65/R15
Dengan saiz berkenaan paling murah yang ada adalah RM165 sebiji, jenama Toyo.
Ada juga senarai jenama dengan harga yang dipamerkan termasuklah satu jenama yang ingin penulis cuba iaitu Michelin XM2 yang dikatakan pada laman sesawang Michelin iainya agak bagus untuk pemanduan, mendapat rating 4.75/5 review.
Michelin XM2 175/65/R15 |
Apabila ditanya untuk Michelin XM2 bersaiz 175/65/R15 ianya berharga RM227 untuk sebiji tayar di Oscar Tyre.
Apabila dikira ia masih dalam julat bajet yang penulis inginkan sekitar bawah RM1000 untuk empat tayar.
Pemasangan Tayar Secara Walk-In
Melihatkan orang yang agak ramai penulis hanya ingin membuat 'survey' dahulu, namun pekerja tersebut memberikan cadangan untuk terus pasang dan menegaskan semuanya akan selesai dalam masa sejam.
Tayar Bertimbun |
Mulanya penulis agak khuatir untuk siap dalam masa sejam kerana melihatkan ramainya pelanggan, akan tetapi setelah melihatkan ramai pekerja dan sehinggakan mereka membuat penukaran tayar di petak parkir penulis agak yakin dengan durasi masa yang ditawarkan kepada penulis.
Seterusnya penulis memutuskan untuk memeruskan pemasangan dan pembelian tayar tersebut pada masa tersebut juga.
Tempat Menunggu yang Ideal
Terdapat tiga tempat yang penulis amati yang ada di sini apabila kenderaan anda sedang dibuat pemasangan. Pertama, pastinya di dalam kedai yang menyediakan kerusi untuk menunggu atau di kaki lima, duduk atas tayar dan sebagainya.
Kedua satu kedai makan disebelah Oscar Tire dan satu lagi di 'Foodtruck' di hujung simpang yang menjual air kelapa dan air tebu termasuk cempedak goreng.
Sekitar 15 minit selepas kunci kereta penulis diambil pekerja, penulis mendapati kereta tersebut di bawa untuk penukaran. Agak pantas untuk kedai yang memiliki pelanggan yang agak ramai.
Prosedur Penukaran dan Pemasangan Tayar Di Oscar Tyre Klang
Antara prosedur yang penulis berjaya perhatikan, selesai sahaja kereta di parkir ditempat disediakan, pekerja akan menanggalkan tayar lama terus dibawa ke dalam.
Pemasangan Tayar Baharu
Tayar ini akan dibawa ke bahagian pemasangan tayar baharu. Disini bagi mereka yang ingin mendapatkan tayar lama untuk dibuat pasu atau permainan boleh beritahu kepada pekerja yang menanggalkan tayar dengan rim.
Mesin Tukar Tayar |
Rim anda akan dipasang dengan tayar yang baharu diminta.
Pengisian Angin
Selesai rim dipasangkan tayar baharu, pekerja akan menggolekkan tayar tersebut untuk pengisian angin. Disini penulis sempat bertanyakan berapakah kapasiti tekanan angin untuk tayar bersaiz 175/65/R15, dengan tidak lokek info pekerja memberikan nilai 'pressure' 220kpa (32psi) jumlahnya.
Satu rim kereta penulis terdapat sedikit bengkok padanya. Mahu tidak mahu perlu membuat sedikit pembaikian untuk membetulkannya. Kata pekerja tersebut mereka mengambil caj RM55 untuk satu rim. Katannya jika ditempat lain sekitar RM85-RM90 (ini tidak pasti).
Maka terdapat penambahan sedikit bayaran.Namun, bayaran berasingan dan bukan dibayar untuk keseluruhan proses. Agak musykil sebenarnya.
Rim dengan tayar baharu akan dibuat 'balancing' menggunakan alat yang tersedia, ini checkpoint seterusnya untuk rim dan tayar anda.
Proses Alignment Tayar
Selesai pemasangan pada kereta, proses seterusnya adalah proses 'alignment'. Proses dimana sistem perkomputeran akan digunakan dengan mengangkat kenderaan anda yang dibawahnya adalah satu pit berupa longkang.
Alignment Kereta Bezza 1.3L |
Disini akan dianalisa senget, tegak, atau tidak kedudukan tayar anda apabila dipasangkan pada kereta. Kos untuk alignment di Oscar Tyre adalah RM20.
Disini kereta dan tayar penulis gagal melepasi ujian. Perlu sedikit penambahan/pembaikian chamber kerana pegangan agak senget ke dalam. Cas untuk adjusting chamber 4 bahagian adalah RM100.
Selesai talaan pada komputer, pekerja akan menguji kenderaan di atas jalan sebenar. Jika ada yang kurang senang mungkin mereka akan beritahu dan ubah.
Layanan Staf dan Persekitaran
Dari segi layanan pekerja agak baik. Bermula dengan bahagian info tayar, mereka akan memberikan info agak lengkap. Pekerja akan beritahu pada anda apakah masalah yang berbangkit dengan proses penukaran/pemasangan tayar anda.
Senang cerita, jika anda tidak mahu ubah/tukar tidak mengapa. Namun, bahagian bayaran agak kurang ramah sedikit, mungkin sibuk dengan kiraan duit agak stress dan kurang mesra pelanggan.
Perbandingan Harga Di Oscar Tyre dan Tempat Lain
Dari segi harga tayar yang penulis beli tidak banyak lari dengan harga pasaran. Harga RM227/sebiji 175/65/R15 Michelin XM2 adalah harga atas talian (online), mungkin harga upah pemasangan sahaja yang murah.
Tapi dari harga alignment di Oscar Tyre agak murah iaitu RM20, jika dikedai lain sekitar RM30 dan ke atas. Cas rim bengkok diambil RM55. Bila dibuat survey sekitar RM60-RM80 diperlukan untuk ditempat lain, tidak pasti adakah yang lagi murah.
Inilah sedikit perkongsian kali pertama penukaran dan pemasangan tayar baharu di sebuah kedai tayar yang dikatakan cukup murah dan tular oleh segenap lapisan masyarakat. Mungkin boleh jadikan sebagai rujukan walaupun sedikit.
Cara, proses, prosedur dan perbandingan harga yang anda boleh buat rujukan.
Informasi Pengunjung
Lokasi Oscar Tyre
Lebih kepada sekitar kawasan Bukit Naga jika ditanya kepada penulis. Namun, terdapat di Google Maps dan Waze.
1, Jalan B 34/B,
Taman Perindustrian Bukit Kemuning,
40470 Shah Alam, Selangor
Pemasangan Tayar (Michelin XM2 175/65/R15) : RM227/biji (4 Biji RM908)
Alignment : RM20/4 tayar
Baiki Rim Bengkok : RM55
Chamber Repair : RM25/bahagian
Waktu Operasi
Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 7 malam
0 Ulasan
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri