"Review Laman Sari Steamboat"
Semakin banyak kedai bufet steamboat yang muncul. Masing-masing ingin memperkenalkan menu istimewa masing-masing. Bukan sahaja menu berlainan, cara promosi untuk menarik pelanggan juga berbeza.
Laman Sari Steamboat Grill Jalan Kebun |
Memberikan banyak pilihan kepada pengunjung dan penggemar gaya makan sambil memasak ini. Sebelum ini penulis pernah mengunjungi beberapa restoran steamboat sekitar Shah Alam dan Klang.
Klise Datang Restoran Buffet Steamboat
Meskipun sama klisenya, datang, duduk di meja, panaskan dapur, pilih makanan di meja bufet, panggang atau celur dan nikmati makanan anda. Itu adalah kronologi biasa datang makan di restoran steamboat dan grill.
Mencari keunikan untuk sesebuah kedai adalah perlu untuk pihak kedai mendapatkan pelanggan tetap.
Dari beberapa buah restoran steamboat dan panggang yang pernah penulis cuba, kesemuanya memiliki kriteria baik dan buruk dalam pelbagai bentuk. Semua kedai ini tidak sama.
Laman Sari Steamboat Grill
Kali ini penulis mencuba salah satu restoran steamboat dan grill yang baharu sahaja bertapak sekitar Februari 2018. Laman Sari Steamboat dan Grill Jalan Kebun Shah Alam.
Mula-mula kita bercerita tentang suasan di restoran ini. Kali pertama masuk di persekitarannya seumpama menonton karya seni Rashid Sibir suasananya.
Redup dan pengcahayaan malap. Menghampiri suasana romantik untuk tanggapan pertama. Meja yang dilengkapi dengan dapur steamboat dan grill disusun memanjang ke arah dapur.
Segala kelengkapan selain dari meja, kerusi diletakkan di sekeliling ruang makan. Cukup kemas susunan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan trafik manusia dan berlaga siku antara meja sebelah.
Suasana yang diceritakan pada rangkap di atas adalah menggunakan pancaindera mata. Untuk hawa pancaindera seterusnya iaitu telinga, boleh diberikan pujian.
Lagu Rock Kapak Background Muzik
Jika klise di sebuah restoran steamboat dan grill pelanggan akan mendengar akan desiran jus makanan di bakar, gelegakkan kuah tom yam di dalam periuk, pekikan staf menyuruh staf di dapur keluarkan ketam yang kehabisan atau hilai tawa sesama pelanggan selain dari kanak-kanak bermain bebas di ruang makan, itu klise, klise setakat penulis menjadi pelanggan kedai steamboat.
Unik dalam restoran ini adalah alunan lagu yang dipasang. Untuk malam penulis menjadi pelanggan, senarai main lagu rock kapak didendangkan. Memang kena dengan jiwa sambil makan.
Datang ke restoran sebetulnya makananlah yang akan menjadi tajuk utama.
Menu Utama Steamboat dan Grill
Makanan di Laman Sari Steamboat and Grill tidak banyak berbeza dengan menu dan hidangan makanan steamboat di tempat lain.
Kuah Tom Yam
Fuh! Kuah tom yamnya memang layak menerima pujian. Memang memiliki rasa yang digemari untuk kuah tom yam. Pekat dan pedas apalagi terdapat rasa masam yang ideal, memang kena dengan citarasa penulis. Apalagi kuah yang bukan sekadar rebusan air, memiliki pelbagai ramuan didalamnya yang menunggu pelbagai jenis menu yang akan dimasukkan ke dalamnya ketika sedang menggelegak.
Pilihan Daging Haiwan Ternakan
Daging Kambing
Hidangan pertama yang selalu penulis terjah adalah dulang yang berisi daging kambing di dalamnya. Memang menjadi kegemaran. Sebenarnya bukan penulis sahaja yang sukakan kambing, ramai sebenarnya. Jika di tempat selain bufet sebegini memang harganya agak mahal. Sentiasa habis dan perlu diisi kembali oleh staf.
Dari segi rasa kambing di sini tidaklah lain sangat dengan jus perapan di tempat lain. Apabila dipanggang, rasa manis dan rempah yang bersatu menghasilkan kepuasan pencinta daging kambing.
Daging Lembu
Cukup biasa, hirisan yang dihiris halus pada hidangan ini boleh dipuji kerana ia membantu proses panggang yang tidak memerlukan masa yang lama. Selain daging kambing dan lembu terdapat juga daging ayam yang telah diperap dengan pelbagai jenis perapan sebagai alternatif.
Menu Hidangan Seafood Dengan Saiz Besar
Udang Harimau
Saiz seafood disini boleh dibanggakan. Setakat ini, disini saiz bahan mentah seafood cukup memuaskan hati dari bab saiznya. Udang harimau dan udang biasa dalam kategori saiz sederhana. Memang puas mengopek kulitnya dengan isi yang masih segar.
Ketam
Ketam masih dalam kategori biasa untuk restoran steamboat. Namun, sentiasa ada di dalam dulang. Tidak memerlukan pelanggan menunggu untuk mendapatkan ketam apabila diperlukan.
Kerang-Kerangan
Pepahat ada disediakan disini, saiznya memang besar. Puas hati makan, jika selalunya sekadar lekat dicelah gigi, kali ini penulis boleh menikmati pepahat yang dicelur dalam kuah tom yam dengan kunyahan yang agak banyak, sebagai metafora saiz pepahat tersebut.
Lala, kepah bewarna hijau dan kerang dalam saiz yang memuaskan. Pencinta kerang-kerangan dan haiwan bercengkerang akan puas hati melihat menu mereka di dalam dulang. Tidak lupa isi ikan dori, yang semakin popular di kalangan kategori seafood di restoran steamboat.
Fishball, Menu 'Yong Tau Fu'
Menu 'yong tau fu', ini penulis ciptakan sendiri kategorinya. Oleh kerana terdiri dari pelbagai jenis dan rupa. Gagal ditemui istilah yang betul oleh penulis. Cukup banyak untuk mereka yang gemarkan 'yong tau fu' atau mereka yang vegetarian.
Fishball yang masih berjus memang amat menarik lagi jika dicelup sebentar di dalam kuah tom yam.
Apalagi jadikan hidangan campuran dengan salad dan sayuran dan digaul dengan sos yang disediakan menjadi hidangan vegetarian.
Pilihan Mi
Datang ke steamboat boleh menguji kehebatan seseorang dalam mencipta makanan tersendiri. Pelbagai jenis mi disediakan untuk pelanggan, dari rupa berbeza dan warna berbeza. Sesuaikan dengan citarasa anda.
Sayur-Sayuran/Ulam
Sayuran yang ada cukup memberikan permakanan seimbang kepada pelanggan. Jadikan salad dengan campuran sayuran dengan sos atau jadikan sebagaimana penulis sering lakukan, dengan membalut daging panggang dengan daun salad, ala ala rancangan running man adanya. Ulaman pun ada jangan risau.
Boleh dikatakan Laman Sari menyediakan pilihan sayuran yang agak banyak berbanding steamboat dan grill yang pernah penulis kunjungi.
Sos dan Pencicah
Jika sudah ada makanan yang sudah dipanggang dan 'yong tau fu' yang sudah tersedia. Tiada 'kick' jika tiada sos dan pencicah. Dari sos 'thousand island' dan pelabgai jenis sos penyedap termasuk sos lada hitam semua disediakan.
Menu Sampingan
Nasi Goreng dan Mi Goreng
Terdapat menu sampingan yang disediakan selain menu biasa yang seperti nasi dan mi goreng yang telah siap.
Buah-Buahan
Tembikai dan epal hijau dijadikan pencuci mulut dan penghilang saki baki makanan yang masih ada dalam kerongkong pelanggan.
Kuih Muih
Tidak lupa kuih yang boleh menjadi pemanis untuk makanan yang telah dimakan sebelum itu. Bagi menceriakan rasa bukan hanya sekadar makanan panggang dan goreng-goreng sahaja yang melalui anak tekak pelanggan.
pada malam penulis datang, kuih lapis dan kuih ketayap disediakan.
Minuman
Dua kategori minuman disediakan di sini. Air manis dan air masak (kosong). Air manis disediakan air balang dengan tiga perisa ditawarkan, air bandung hijau, air jagung dan air pic. Ambil sebanyak mana yang anda perlukan disebelah balang-balang ini disediakan jag bersaiz kecil dan gelas minuman.
Air kosong yang ditawarkan kepada pelanggan adalah air melalui mesin dispenser.
Tekan dan dapat air.
Layanan Staf
Alhamdulillah. Sepanjang penulis disana tiada sebarang rasa ketidakpuasan hati dari segi layanan staf. Jika terpandang mereka, kita senyum dan mereka membalas senyuman. Jangan pula sampai terjatuh cinta. Gurau saja.
Review/Cadangan Penulis
Semua adalah keadaan baik. Dari segi pembahagian meja dan bilangan pelanggan untuk satu satu dapur adalah kurang berbanding dari restoran lain. Di sini 10 orang untuk satu dapur. Agak sesak sebenarnya.
5-7 orang untuk satu dapur mungkin bilangan yang terbaik untuk meneruskan aktiviti memanggang dan merebus makanan. Melalui pengalaman di restoran lain, jika datang dalam 10 orang dua dapur disediakan. Mungkin boleh usahakan untuk mengurangkan bilangan pelanggan untuk satu dapur.
Makanan yang ditutup secara 'sliding' agak menyusahkan pelanggan. Contoh, mereka yang sedang mengambil makanan di bahagian hujung akan menutup mereka yang ingin mendapatkan makanan di hujung lain.
Informasi Pengunjung
Alamat
Tidak jauh dari Jalan Kebun (jalan utama) dan cukup mudah untuk ditemui.
Dapatkan alamat dan lokasi dibawah:
Kampung Jln Kebun,
40460 Shah Alam,
Selangor
Harga Makanan Buffet Di Laman Sari
Dewasa : RM23.90
Kanak-Kanak (7 hingga 12 Tahun) : RM14.00
Kanak-Kanak (6 Tahun dan Ke Bawah) : RM0 (Free/Percuma)
Warga Emas dan OKU : RM14.00
Harga untuk satu kepada, per seorang
Waktu Operasi Laman Sari Steamboat Grill
Laman Sari Steamboat Grill dibuka setiap hari kecuali hari Isnin. Mula dibuka pada jam 5 petang sehinga 12 malam.
Promosi Buffet Laman Sari Steamboat
Terdapat juga beberapa promosi yang ditawarkan. Termasuk buffet untuk bulan ramadhan atau promosi untuk acara tertentu. Boleh hubungi pihak restoran Laman Sari Steamboat Grill Jalan Kebun. Sebagaimana contoh iklan di bawah:
Parkir Kenderaan
Cukup puas hati. Jika tidak mahu parkir di bahu jalan berdekatan dengan kawasan restoran ada disediakan satu lot tanah berhadapan dengan restoran di seberang jalan satu kawasan parkir percuma khas kepada pelanggan restoran.
Anda fikir anda tahu Review Laman Sari Steamboat Grill Jalan Kebun Shah Alam ?
Anda fikir sekali lagi....
Assalamualaikum.
0 Ulasan
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri