Makan Nasi Ayam Madu Di Kedai Cendol Durian Hafidz Olak Lempit Banting


"Kedai Cendol Durian Hafidz"

Olak Lempit. Satu kawasan di Banting, Selangor. Dahulunya penulis pernah sahaja mendengar akan nama Olak Lempit, kerana pernah terpandang di kaca tv ketika waktu berbuka ditayangkan televisyen. Akan tetapi, kali ini penulis sendiri berjaya memijakkan kaki di tanah Olak lempit.


Kedai Makan Hafidz Olak Lempit Banting
Kedai Makan Hafidz Olak Lempit Banting
Semua bermula dalam pencarian jalan untuk menyaksikan Motogp di Sepang tempoh hari. Lebuhraya untuk ke Sepang agak 'mainstream', berpandukan 'google maps' di telefon bimbit, gigih pada malamnya penulis mencari laluan untuk ke Sepang melalui jalan Banting.


Terbukti laluan yang ditemui agak baharu lagi bagi penulis untuk ke Sepang. Jalan raya yang tidak begitu sibuk meskipun hujung minggu. Kiri dan kanan dipenuhi dengan rumah-rumah penduduk sekitar dan sekali sekala melintasi kebun kelapa sawit dan semak hutan belukar.

Dalam diselubungi kawasan berhutan dan jarang kelihatan perumahan, terselit sebuah kedai makan yang agak ramai pengunjungnya. Ini menarik perhatian penulis untuk singgah dan merasai pengalaman makan di sini. Waktu tengahari menjelang, bersesak sesak di motogp mampu menghilangkan beberapa gram kalori, kini tiba masanya untuk mendapatkan kembali kalori yang hilang.

Kedai Cendol Durian Hafidz Olak Lempit

Pada tengahari tersebut kedai makan yang berkonsepkan warung ini dipenuhi pengunjung. Mungkin sedap makanannya, inferens awal penulis. Penulis dan isteri memesan tiga jenis makanan yang terdapat di kedai ini. Nasi ayam madu untuk penulis, semangkuk laksa untuk isteri dan satu hidangan tambahan iaitu pisang goreng cheese.


Cendol Durian Hafdz Olak Lempit
Agak janggal bila berada di kedai 'cendol durian' tetapi mencuba menu lain. Jika ketibaan penulis di sini pada waktu petang, mungkin boleh mencuba cendol duriannya.

Memang nama kedai ini, cendol durian, namun boleh dikatakan itu adalah hidangan special yang ada di kedai ini. Terdapat pelbagai jenis makanan lain seperti nasi ayam madu, laksa, mee kari, mee rebus,

Nasi Ayam Madu 

Dari pemerhatian penulis, kebanyakan pengunjung memilih nasi ayam madu sebagai hidangan. Mungkin ini adalah hidangan 'pivot' selain 'trademark' mereka iaitu cendol durian.
Nasi Ayam Madu Cendol Hafidz
Nasi Ayam Madu
Memang terdapat madu didalam perapan ayam yang empuk, bukan sekadar nama. Berjus dan manis madu cukup sedap dipadankan dengan nasi bewarna kekuningan yang harum, apalagi digaul bersama kuah kicap dan sambalnya yang ada rasa tersendiri. Kepekatan adunan ini 'dibilas' dengan sup kosong yang bukan begitu kosong rasanya, cukup lengkap untuk satu suapan ke mulut.

Laksa Penang Kuah Pekat

Laksa, yang berkuahkan laksa penang. Rasa pekat kuah yang dibuat dari ikan cukup perisa. Segala ramuan asas dalam semangkuk laksa ada di dalamnya, bahan utama untuk kuah laksa, bunga kantan membangkitkan aroma walaupun dipejam mata. 


Laksa Kuah Melekat Cendol hafidz
Laksa Kuah Melekat
Warna kuahnya agak gelap, mungkin adalah kesan dari isi ikan yang banyak ketika pembuatan kuah selain dicampur sedikit asam jawa, mungkin. Isteri penulis mengiakan pertanyaaan, sedap tak ? dengan senyuman manis. Jika itulah reaksinya maka laksa ini boleh dikategorikan sebagai sedap.

Di Malaysia, apa yang diletak keju (cheese) pasti viral. Pisang cheese adalah antara hidangan pencuci mulut selepas menghabiskan menu utama. Tepung yang disalut pada pisang tidak begitu tebal, di mana membolehkan rasa pisang tidak dijajah oleh rasa tepung yang banyak. Pisang yang digunakan juga agak lembut, senang dikunyah.


Pisang Goreng Cheese
Pisang Goreng Cheese
'Cheese' yang telah diparut ditaburkan di atas pisang yang sudah digoreng garing. Cukup enak jika dimakan ketika masih panas. Kemanisan rasa pisang serta 'lemak' rasa cheese adalah dua perisa yang boleh hidup bersama di dalam mulut. Ditabur manik-manik coklat yang menyerlahkan kelainan rasa apabila dicecah dengan sambal kicap atau sos cili.

Pelanggan boleh mendapatkan pelbagai jenis minuman, bagi penulis dan isteri kami memilih air 'coconut shake' sebagai minuman. Jika masih ada saki baki makanan yang sukar melalui esofagus boleh mendapatkan air kosong percuma berdekatan kaunter bayaran. Gelas dan bekas air kosong percuma disediakan.

Kuih Muih Beraneka Macam

kuih dan muih beraneka macam makanlah makan jangan hanya dipandang, namun perlu dibayar. Selain pisang goreng cheese, kuih keria juga turut dijual disini. Bolehlah cuba pelbagai jenis kuih muih petang yang cukup enak dimakan bersama cendol durian. 


Kuih dan Muih Beraneka Macam
Kuih dan Muih Beraneka Macam
Memang sesuai dengan citarasa waktu petang. Cucur dan makanan ringan seperti fish ball yang digoreng turut menghiasi meja hadapan kedai hanya menantikan pesanan dan tempahan dari pelanggan. Semua kuih dah muih beraneka macam ini digoreng panas-panas dan bukannya hidangan yang sejuk.


Pelbagai Jenis Hidangan Cendol

Mungkin di lain masa, penulis akan mencuba cendol duriannya. Dari pengamatan penulis, isi durian adalah dari durian yang segar kerana kelihatan dalam bakul beberapa biji durian tersedia untuk dikopek. Kedai ini memang adalah kedai cendol, memandangkan terdapat lebih dari lima jenis hidangan cendol yang disediakan selain cendol durian.

Apa yang uniknya adalah, cendol yang dijual adalah buatan sendiri, homemade, bukan dibeli dari mana-mana. Keaslian cendol adalah hakcipta mereka sendiri.


Cendol Durian Hafidz | Hafidzs Cendol FB Image
Mungkin menu yang boleh penulis cadangkan adalah cendol durian dan pisang cheese jika tidak inginkan makanan yang agak berat, atau mungkin memesan air 'coconut shake'.

Mesti ada yang tidak gemar akan cendol atau durian. Tidak mengapa terdapat ABC dengan pelbagai jenis campuran bagi menghilangkan panas atau digandingkan dengan kuih muih.

Suasana dalam kedai agak malap menambahkan suasana romantik dan mungkin ada ketika ada bauan dari parit dibawah kedai. Mungkin inilah tarikan lain selain dari makanan yang dihidangkan, ketika waktu puncak seperti tengahari, sukar untuk melihat tempat duduk dan meja kosong untuk jangka waktu yang agak lama.

Harga Makanan & Minuman

Harga hidangan yang terdapat di kedai ini cukup berpatutan. Harga mampu telan bagi rakyat marhaen dalam kelas sederhana. Harga makanan yang penulis dan isteri pernah cuba adalah sebagaimana di bawah :


Senarai Harga Makanan
Senarai Harga Makanan
Harga Cendol dan ABC
Harga Cendol dan ABC
Nasi Ayam Madu : RM 5
Laksa : RM 4
Pisang Goreng Cheese Coklat : RM 6.50

Air Coconut Shake Special: RM 3


Bagi lain-lain menu boleh rujuk gambar menu dibawah untuk rujukan, bergantung kepada harga semasa.


Senarai Harga Makanan | Hafidzs FB Image
Informasi Pengunjung

Lokasi kedai makan ini betul-betul di tepi jalan Banting menuju ke Dengkil. Berada di antara Masjid Al-Khairat Olak Lempit dan stesen minyak Petronas Olak Lempit arah ke Dengkil, diberikan 'landmark' ini khuatir akan terlajak.


Waze Lokasi Cendol Durian Hafidz
Waze Lokasi Cendol Durian Hafidz
Ada lokasinya di aplikasi Waze dengan carian 'Kedai Cendol Hafidz'.

Lot 1992, Batu 40 Kg Olak Lempit
Banting 42700


Hubungi Cendol Durian Hafidz | Cendol Durian Hafidzs FB Image
Dibuka setiap hari kecuali hari jumaat dan beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 7 petang.

Anda fikir anda tahu Makan Nasi Ayam Madu Di Kedai Cendol Durian Hafidz Olak Lempit Banting ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan