Berkelah dan Mandi-Manda Di Pantai Bukit Keluang, Besut Terengganu


"Pantai Bukit Keluang"

Di zaman kanak-kanak penulis masih belum ada lagi animasi 3D seperti Upin Ipin apalagi Boboiboy atau Ejen Ali. Penulis membesar dengan animasi 'stroke' tangan seperti Usop Sontorian, Anak-anak sidek dan paling penulis gemari Keluang Man yang masih lagi terngiang-ngiang lagu temanya nyanyian Krisya. 

Artikel ini bukan ingin menceritakan mengenai animasi lagenda zaman penulis, tetapi ada kena mengena namanya dengan satu tempat peranginan yang kian mula tersenarai dalam diari tempat peranginan menarik di Malaysia.


Mandi Manda Berkelah Di Pantai Bukit Keluang Besut
Pantai Bukit Keluang Besut
Pantai Bukit Keluang yang terletak di dalam daerah Besut Terengganu yang pada asalnya adalah hak milik Kelantan, buktinya, majoriti penduduk Besut bertutur dalam dialek atau loghat Kelantan. Kita lupakan sejarah silam, mari kita kenali pantai Bukit Keluang yang hanya mana tahu ia merupakan salah satu tempat 'favorite' dan mampu menjadi 'bookmark' dalam kalendar percutian anda.


Pada awalnya, Bukit Keluang yang terletak betul-betul di gigi perairan Laut China Selatan ini bukanlah satu destinasi yang perlu disinggahi pelancong kategori pantai. Penulis cukup mengenali kawasan sekitar Bukit Keluang memandangkan penulis merupakan alumni kepada sebuah institusi pendidikan di kawasan tersebut iaitu MRSM Kota Putera Besut.

Perubahan Pantai Bukit Keluang

Di zaman penulis masih lagi menelaah pelajaran di MRSM tersebut, pantai Bukit Keluang begitu sunyi, sukar untuk melihat kawasan yang berlatarbelakangkan hutan gambut pokok gelam yang agak kering ini dikunjungi pengunjung. 

Kawasan ini seolah-olah 'penjara' kerana di bahagian baratnya hutan gambut gelam berpasir dan ke arah timurnya adalah laut. Istilah 'fly' bagi pelajar MRSM Kota Putera cukup tidak sinonim pada ketika itu.

Pada masa itu, pantai Bukit Keluang sekadar satu persinggahan petang-petang bagi yang bersantai jalan-jalan dengan basikal.

Namun kini apabila sudah hampir 20 tahun (14 tahun ketika artikel ini ditaip) dari masa penulis mula-mula mengenali Bukit Keluang, Pantai Bukit Keluang sudah berubah wajah meskipun tangga batu ala-ala Teluk Cempedak Pahang sudah terhakis menjadi puing-puing. Dahulunya sunyi sepi melainkan bunyian ombak dan deruan angin melalui celah-celah dedaunan rhu kini ditambah dengan hilaian dan tawa kanak-kanak dan golongan dewasa.

Aktiviti Di Pantai Bukit Keluang

Sebuah pantai dengan mercu tanda sebuah bukit sebagai 'landmark' dengan pelbagai aktiviti sukan air untuk pengunjung sudah memberikan kehidupan baharu kepada pantai yang hanya menjadi kawasan bbq pelajar/penuntut sekitar.


Signboard Mandi Manda Bukit Keluang
Signboard Mandi Manda Bukit Keluang
Telah disediakan kawasan mandi-manda untuk golongan kanak-kanak dan dewasa. Kedalaman paling dalam bagi kawasan yang dibenarkan untuk mandi adalah pada paras leher seorang yang berketinggian 1.71m. Pengawasan penjaga ibu bapa perlu meskipun ditempatkan pusat kawalan 'baywatch' disini. Dilengkapi dengan sempadan yang telah disediakan pihak yang menjaga dan membaikpulih kawasan ini yang turut dilengkapi dengan menara tinjau keselamatan yang dioperasikan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bewarna oren.

Pantai Kegemaran Kanak-Kanak

Mandi di pantai Bukit Keluang memang boleh mendatangkan 'ketagihan', itulah yang berlaku kepada dua anak saudara penulis, sukar untuk memujuk mereka untuk naik ke daratan semula. Meskipun naik untuk menjamu hidangan seperti bihun goreng, lokcing dan keropok lekor dan minum air yang dibawa pantai seakan-akan memanggil sehinggakan anak saudara penulis beberapa kali 'repeat' turun ke laut untuk berendam.


Kanak Kanak Bermain Tepi Pantai
Ralit Bermain Pasir Di Tepi Pantai
Pakej Ke Pulau Ru

Antara aktiviti lain selain mandi-manda adalah menaiki 'banana boat' dengan bayaran satu trip berharga RM20 mengelilingi sekitar pantai dan menuju ke Pulau Ru dengan kapasiti pelancong seramai enam orang. Salah satu lagi hasil ekonomi pengusaha bot kawasan ini adalah trip untuk mengelilingi Pulau Ru yang berada dihadapan menghadap pantai. 


Bot ke Pulau Ru Besut
Bot ke Pulau Ru Besut

Banana Boat Bukit Keluang
Banana Boat Bukit Keluang
Pakej yang ada untuk ke Pulau Ru ini adalah pakej hantar-singgah-balik iaitu menaiki bot ke Pulau Ru diberikan masa untuk menjelajahi Pulau Ru tersebut dan bot akan membawa pulang semula anda ke tanah besar (bukan tanah besar China, Pantai Bukit Keluang). 

Penulis masih belum berpeluang merasai pengalaman ke Pulau Ru menaiki banana boat ini kerana kekangan masa dan sibuk dengan aktivit kuak kupu-kupu bersama anak-anak saudara mandi di pantai Bukit Keluang.


Pulau Ru Besut
Nun Di Kejauhan Pulau Ru Besut
Tempat parkir yang ada boleh dikatakan agak terhad pada hujung minggu dan mampu menghasilkan lalu lintas trafik yang memerlukan kesabaran. Dua bahagian parkir disediakan, salah satunya berdekatan dengan bukit yang agak terhad dan salah satu lagi adalah di sepanjang pantai.

Kesesakan Waktu Puncak

Kesesakan trafik pada waktu puncak boleh dilihat sehingga beberapa kilometer sebelum sampai ke Bukit Keluang. Begitulah penangan kawasan rekreasi pantai yang mula tersohor ini. 

Antara aktiviti lain yang dapat dilakukan di kawasan Bukit Keluang adalah pendakian ke puncak bukit. Itu juga 'sedang' berada dalam senarai untuk penulis laksanakan kelak. 

Selain aktiviti ke puncak Bukit Keluang, terdapat juga peminat sukan paraglider menjadikan puncak bukit sebagai platform untuk melihat sekitar Pantai Bukit Keluang dengan 'aerial view'.


Sukan Paraglider Di Bukit Keluang
Sukan Paraglider Di Bukit Keluang


Paragliding ke Bulan
Paragliding ke Bulan

Selain aktiviti pantai, pengunjung juga boleh menunjukkan bakat menyanyi di booth karaoke yang berkongsi bangunan dengan taman permainan kanak-kanak. Dengan teduhan pohonan rhu, disediakan juga tandas awam dan bilik persalinan selain dari gerai-gerai yang menjual jajan atau makanan ringan selain sumber air minuman.

Cara Untuk Ke Sini

Pengunjung yang ingin ke Pantai Bukit Keluang ini jika di luar dari kawasan Terengganu dan Kelantan boleh datang ke sini dengan beberapa cara.

Melalui udara mungkin boleh mengambil 'boarding pass' untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu, lebih dekat melalui lapangan terbang Kota Bharu memandangkan lokasi lapangan terbang di Kuala Terengganu agak jauh dengan lokasi pantai.Bagi yang ingin datang dengan bas dapatkan bas yang menuju ke destinasi Kuala Besut.

Mungkin ingin datang sendiri atau tinggal dengan saudara mara di sekitar boleh datang melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 sebelum mengikut setiap arahan dari 'Waze'. Boleh juga dengan kereta api namun Terengganu belum lagi ada stesen kereta api, paling dekat adalah dengan turun di hentian Wakaf Bharu Kelantan.



Bagi yang datang dari jauh ada baiknya dapatkan tempat bermalam dengan harga dan diskaun yang menarik jika lakukannya secara online dengan agoda, boleh membuat tempahan inapan di sekitar Bukit Keluang Terengganu dengan carian agoda di bawah



Anda fikir anda tahu Berkelah dan Mandi-Manda Di Pantai Bukit Keluang, Besut Terengganu ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan