"Wonderfood Museum Penang"
Bayangkan anda dihidangkan dengan laksa penang di dalam mangkuk berukuran tinggi melebihi 3 kaki dan diameter (lebar) adalah melebihi 5 kaki ? Berapa hari yang diperlukan oleh anda untuk menghabiskannya dan apalagi mereka yang menyiapkannya. Sudah semeastinya laksa penang yang sebesar ini boleh diletakkan dalam kategori 'wonder'.
Laksa penang bersaiz gergasi ini merupakan salah satu 'hidangan' yang akan dapat dilihat di sebuah muzium berkonsepkan pelbagai makanan tempatan dan luar negara yang terletak di Pulau Pinang.
Wonderfood Museum Penang Malaysia |
Diberikan nama 'Wonderfood Museum' sememangnya wonderland bagi peminat makanan dan menjadikan tagline 'Food is Passion' sebagai pegangan. Makanan-makanan yang dipamerkan bukan makanan sebenar, merupakan replika makanan yang boleh dikategorikan sebagai 'ultra-reallistic' replika.
Replika 99% Sama Dengan Sebenar
Warna, tekstur dan portion replika makanan yang begitu sama dengan yang asal. Jangan datang jika perut masih kosong kerana 'lifelike food' dalam muzium ini akan memberikan rasa tidak selesa kerana ia betul-betul menguji nafsu makan anda, dikhuatiri replika makanan dijadikan alas perut nanti.
Makanan Melayu India Cina |
Dari semurah-murah (makanan yang telah lama) sehingga semahal-mahal makanan dipamerkan di muzium ini. Berkonsepkan pengunjung perlu melalui perjalanan ke satu ruang galeri ke satu galeri yang lain memberikan pengalaman menjamu mata selain mendapat pelbagai pengetahuan baharu mengenai setiap tema dalam setiap galeri yang telah dikelaskan. Para pekerja muzium yang ramah dan tidak lokek dengan maklumat mengenai setiap replika makanan menambahkan lagi rasa teruja dengan replika yang unik.
Staff Muzium yang Banyak Informasi
Setiap galeri ditempatkan staff muzium yang akan membantu anda dengan penjelasan mengenai tempat anda berada. Staff juga berfungsi segala jurugambar anda dan tidak akan menolak jika disuruh mengambil gambar anda dan rakan-rakan. Tips postur dan posing untuk bergambar juga staff muzium akan berikan kepada pengunjung. Jangan takut untuk bertanya tentang replika makanan yang dipamerkan.
Galeri DIbahagikan Kepada Tajuk dan Tema Tertentu
Muzium yang mengambil ruang dua tingkat bangunan dimulakan dengan galeri makanan tempatan yang popular. Makanan masyarakat melayu, india dan cina menghiasi dinding-dinding ruang galeri pertama. Peluang bergambar sebagai seorang tukang tarik teh tarik dan pembuat mee goreng boleh dialami pengunjung. Galeri permulaan ini turut menempatkan beberapa babak menarik mengenai makanan sebagai contoh makanan dalam keadaan tanpa graviti, makanan dalam versi hitam putih, jika makanan bewarna warni ala-ala dunia spongebob, dan replika meja makan yang diletakan makanan yang sudah lama dan berhabuk.
Makanan Berhabuk |
Bagi aras pertama apa yang menjadi pesona dan tarikan adalah laksa penang gergasi. Berukuran mungkin melebihi 5 pemeluk lelaki dewasa dengan mangkuk yang tingginya separas dengan pinggan manusia normal. Tidak cukup kunjungan tanpa bergambar dengan laksa penang gergasi berlaukan ikan sardin yang 'masih panas' ini. Replika laksa ini dikelilingi dengan pelbagai makanan yang popular di Malaysia seperti sate, rojak buah, mee kari, dan banyak lagi selain cendol gergasi yang diletakan di hujung penjuru kanan galeri.
Replika Makanan Malaysia| Mee Kari, Nasi Lemak, Kue Teow Goreng |
Cendol Gergasi |
Aras Makanan Gergasi |
Aras dua muzium dimulakan dengan replika penyediaan dan variasi makanan zaman dahulu. Tempat makan yang menjadi kawasan kunjungan popular rakyat malaysia seperti suasana di pasar malam, penjaja dengan basikal dan gerai-gerai tepi jalan. Selain makanan berasaskan 'main course', replika kuih muih dan buah-buahan tidak ketinggalan memenuhi ruang galeri aras atas muzium.
Replika Buah Durian & Manggis |
Galeri Makanan James Bond dan Orang Kaya
Paling menarik perhatian apabila berada di aras ini adalah galeri bagi makanan yang mahal. Roti burger yang mencecah ribuan dollar, macron, caviar (ini sudah biasa bagi golongan berada, telur ikan sturgeon, ikan dinasour) dan topping pizza yang semuanya ditaburkan dan disalutkan dengan emas 24k. Menurut staf yang menjaga galeri makanan mewah ini, ini adalah realiti orang kaya, makan emas tulin, namun dalam kuantiti yang sedikit ditakuti mempunyai kesan sampingan kepada pemakannya.
Makanan Termahal Dunia |
Semua makanan bersalut emas ini rata-rata berharga USD1000 dan ke atas malah pizza yang dipamerkan merupakan replika pizza yang digunakan dalam sebuah cerita James Bond 007.
Makanan Adalah Seni
Galeri 'Food is Art' pengunjung akan ditemani apalagi jika bercerita tentang seni jika dalam kategori lukisan kalau bukan hasil masterpiece Leonaro Da Vinci iaitu Monalisa. Makanan juga boleh menjadi potret monalisa. Jika dilihat mata kasar agak sukar dibayangkan pada meja yang terhidang dengan bahan makanan, namun selepas tangkapan gambar mungkin sedikit sebanyak membantu pengunjung mengetahui apakah yang tersirat dari susunan bahan makanan yang diatur dia atas meja.
Food is Art| Monalisa |
Galeri seni makanan ini adalah galeri seterusnya selepas pengunjung yang gemarkan benda manis seperti gula-gula dan coklat dan ais krim bergambar.
Wonderfood Museum Penang bukan semata-mata tempat mencuci mata dan mengagumi bakat kreatif seni pencipta replika tetapi sisi tersirat dalam kunjungan ke galeri-galeri yang ada dalam muzium ini diterjemahkan kepentingan makanan, elakkan dari membazir dan hargailah makanan.
Nilai dan Pengajaran
Bayangkan kesemua makanan yang kita kenali ini sudah tidak wujud lagi dan sudah tiada lagi untuk dinikmati dan dirasai. Pembunuhan kejam terhadap haiwan contohnya untuk mendapatkan sirip ikan yu dan kawasan bergolak yang menidakkan dari manusia mendapatkan sumber makanan adalah antara mesej muzium ini dalam mendidik kita supaya tidak membazir dan ingatlah pada mereka yang memerlukan.
Usah takut dengan replika di bawah.....
Kanak-Kanak Kelaparan |
....kerana ramai yang tidak mendapat makanan mencukupi sedangkan kita melakukan pembaziran makanan.
Informasi Pengunjung
Wonderfood Museum telah dianugerahkan 2017 Certificate of Excellence dari Tripadvisor pengiktirafan terbaik dari tripadvisor.
Alamat
49, Lebuh Pantai Pinang,
10300 George Town,
Pulau Pinang,
Malaysia
Waktu Operasi Wonderfood Museum Penang
Wonderfood Museum Penang dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi dan ditutup pada jam 6.00 petang.
Bayaran Tiket Masuk Wonderfood Museum
Dengan bayaran masuk RM 25/seorang bagi pengunjung dewasa, Rm 15/seorang bagi kanak-kanak. Pemegang Mykad tiket masuk berharga RM 15/seorang dan pemegang kad MyKid bayaran RM 10/seorang dikenakan yang terus datang ke muzium.
Bayaran RM12/seorang bagi mereka yang memiliki voucher dari 11street. Pengunjung dapat menjelajahi hidangan berskala 'life-size' dalam pelbagai warna dan jenis hasil karya Sean, seorang pakar yang memerlukan masa 5 tahun dalam penghasilan replika sebelum dipamerkan di Wonderfood Museum Penang.
Parkir Kenderaan
Agak terhad kawasan parkir kenderaan memandangkan ia terletak di tengah bandar dan berhampiran lampu isyarat yang sibuk. Merumitkan lagi apabila laluan satu hala sahaja.
Kedai Cenderahati
Sediakan duit lebih untuk mendapatkan cenderahati untuk dibawa pulang, selain t-shirt dan fridge magnet, gelas berisi teh susu yang tumpah cukup menarik perhatian.
Mereka kagum dan teruja di Wonderfood. Anda bila lagi ? |
Anda fikir anda tahu Wonderfood Museum Penang Galeri Replika Makanan Bersaiz Hulk Kelaparan ?
Anda fikir sekali lagi....
Assalamualaikum
0 Ulasan
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri