Garis Panduan Tempoh Qurban, Hukum Pembahagian Daging, Haram Upah Kepada Pelapah Ibadah Qurban


'Pembahagian Daging Ibadah Qurban'

Hari raya haji begitu sinonim dengan ibadah kurban. Tidak kira lembu, kambing, biri-biri atau unta haiwan ternakan yang halal dan mencukupi syarat tertentu layak untuk dikorbankan.


Hukum dan Larangan Dalam Ibadah Kurban
Garis Panduan Ibadah Qurban

Bersempena sejarah Nabi Ibrahim a.s yang mengorbakan anaknya Nabi Ismail a.s sebagai tanda kecintaan dan keimanan terhadap Allah s.w.t. ibadah kurban menjadi ikutan berzaman bagi merek yang mampu. Mengikut tafsiran, “Qurban” bermaksud nama bagi sesuatu yang diqurbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada ‘Idul Adha. Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an’am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan taqarrub kepada Allah SWT.


Ibadah qurban dikelaskan kepada dua jenis qurban, qurban sunat dan qurban nazar.

Ibadah Qurban ada masa dan tempoh tertentu melainkan aqiqah yang boleh dilakukan pada bila-bila perlu. Telah ditetapkan tarikh, masa dan tempoh untuk melakukan qurban, iaitu:

1. Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari
Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13
Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban
tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya
(10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada
malam 14 Zulhijjah.

2. Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa
dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan
khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan
untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan
selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berqurban
bermula pada jam 9.30 pagi.

3. Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh
tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak,
sama ada orang berqurban menunaikan solat atau
tidak, sama ada imam menyembelih haiwan qurban
atau tidak, hukumnya adalah sah.

4. Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan
malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam)
sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah)
sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan
qurban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka
hukumnya adalah tidak sah.

5. Penyembelihan qurban yang dilakukan selepas terbit
matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya
Adha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak
dikira sebagai ibadah.

Qurban sunat dalam mazhab Iman Shafie hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut) ke atas individu muslim yang berakal, merdeka dan baligh serta berkemampuan walaupun sekali seumur hidup.Dia juga perlulah bermukim yakni menetap di sesuatu kawasan. Manakala Qurban Nazar adalah qurba jenis wajib. Dengan berniat untuk mengorbankan haiwan ternakannya. Sebagai contoh, "lembu ini akan aku jadikan sebagai kurban". Pemilik haiwan ternakan tersebut telah bernazar dan haram jika dia tidak melaksanakannya. Hasil haiwan ternakan tersebut tidak boleh dimakan oleh pemiliknya dan tanggungannya.

Pembahagian Daging Kurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan qurban nazar (wajib) dan qurban sunat yang terlah diterangkan di atas.

1. Pembahagian daging qurban Nazar (wajib)

Wajib semua dagingnya termasuk kulit, kepala dan tanduk disedekahkan kepada fakir miskin, haram daging tersebut kepada orang yang berniat dan melakukan qurban apalagi dia memanfaatkan hasil sembelihan tersebut seperti menjual bahagian daging atau komponen organ haiwan ternakan tersebut untuk kepentingan sendiri atau orang di bawah tanggungannya.

2. Pembahagian daging qurban Sunat

Dalam mazhab Shafi'i, 1/3 dari hasil qurban untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya, 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan 1/3 lagi untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran. Hukum disini adalah harus. Wajib diberikan kepada fakir miskin daging qurban yang mentah.

Adalah afdal dalam mazhab Shafi'i disedekahkan semua daging korban tersebut kepada fakir miskin dan sebahagian kecil dimakan oleh mereka yang berniat qurban itu sendiri sebagai mengambil berkat dari hasil qurban. Hari raya merupakan hari meraikan fakir miskin, jika bulan sebelum-sebelumnya mereka tidak dapat menikmati daging pasaran biasa yang begitu mahal, hari raya haji lah fakir miskin ini mampu tersenyum mendapatkan lauk pauk yang lazat sama juga dengan berpuasa di bulan Ramadhan, mereka tidak berseorangan berlapar.

Dalam mazhab shafi'i tidak dibenarkan memberikan hasil qurban kepada mereka yang bukan islam (non-muslim). Jika ter beri kepada non muslim kita (mazhab shafi'i) perlu qadha (ganti) daging tersebut kepada orang fakir.

Bukan semua orang yang berniat qurban melakukan semua urusan dari merebahkan haiwan yang untuk diqurbankan dan sehingga siap melapah serta mengambus saki baki yang tidak diambil. Mesti ada mereka yang datang menolong dan mengambil upah untu melapah daging qurban dan juga menjadi tukang sembelih.

Hukum mengupah para pelapah dan tukang sembelih dengan daging qurban adalah HARAM. Tiada sebarang hasil dari haiwan qurban perlu diberikan sebagai upah, meskipun kepala apalagi belulang kulit. Kepala dan lain-lain organ eksotik, tidak kira 'perkakas dalam' yang kecil termasuk testis lembu haram diberikan sebagai upah kepada tukang sembelih dan pelapah.

Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata: “kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”. (Muttafaqun Alaih)

Namun, mereka yang sudah mendapat bahagian dalam tujuh bahagian qurban dan ingin memberikan hadiah kepada mereka yang datang menolong melapah hukumnya harus. Setelah siap dibahagikan semua hasil qurban.

Bila musim qurban nanti sesiapa yang melihat dalam bakul, motosikal kriss atau honda EX5 pelapah yang mengambil bahagian dan organ ini harus diambil semula dari raga motor mereka. Upah bagi tukang sembelih dan pelapah berupa wang ringgit dab lain-lain selain bahagian hasil qurban haiwan ternakan termasuklah najis, atau air kencing haiwan tersebut. Itu sekadar teori, ada kah orang yang mahu membahagikan tahi lembu kepada 7 bahagian ?

Bukan wajib dibahagikan dengan 7 bahagian tetapi jangan melebihi 7 bahagian..5,4,3..tiada masalah

Anda fikir anda tahu Garis Panduan Tempoh Qurban, Pembahagian Daging, Upah Kepada Pelapah Ibadah Qurban ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.



Catat Ulasan

0 Ulasan