"Bayaran Pindah Astro"
Memandangkan kos perumahan yang kian meningkat saban tahun keperitan bagi mereka yang menyewa rumah amat dikasihani. Kita berbicara mengenai mereka yang menyewa sebagai tempat berlindung. Pelbagai carian di internet untuk mendapatkan rumah sewa yang lebih murah bayaran bulanan berbanding yang sedia ada. Umpama keropok losong ditepi pantai, cukup cepat rumah yang disebarkan untuk mencari penyewa baharu sudah di tempah.
Caj Pindah Astro |
Kelegaan terasa apabila menemui rumah sewa yang setaraf dengan pendapatan dan bajet. Masalah sudah selesai, namun bagi mereka yang menjadi pelanggan astro iaitu sebuah televisyen berbayar Malaysia menjadi kegusaran baharu.
Bagi pelanggan astro, piring dan dekoder serta beberapa meter wayar sudah diberikan semasa pemasangan permulaan. Berpindah ke tempat baharu, takkan kita mahu meninggalkan piring dan dekoder astro jika kita masih ingin melanggan astro. Kena bayar lagi, itu merupakan permasalahan baharu yang muncul. Namun, perlukah pembayaran dengan kata lain caj akan dikenakan kepada pelanggan astro yang ingin berpindah.
Ini merupakan pengalaman sendiri penulis, dengan berbekalkan keyboard komputer dan beberapa kali menggunakan papan kekunci pada pad telefon pintar, penulis mencari kadar caj yang dikenakan oleh astro memindahkan segala aset untuk melihat rancangan di astro jika ingin berpindah.
Caj Pindahan Astro Dari Pihak Luar
Kebanyakan carian di google mendatangkan kegusaran, iaitu ada yang menyatakan upah bayaran, serendah RM80 ada juga yang mengatakan mampu mencecah RM150 untuk pemindahan.
Penulis masih tidak berpuas hati dan inginkan kepastian dan mendapatkan khidmat 'face to face' inkuiri, dengan pengedar astro sendiri di sebuah pasaraya Econsave. Soalan yang sama diberikan kepada seorang abang ini, berapa caj dikenakan untuk memindahkan piring dan dekoder astro.
Dia menjelaskan, semua sekali RM 180, tetapi kerana dia anggap penulis 'brader' dia, dia diskaun menjadi RM 150. Tipu sunat penulis dengannya bermula dengan mengatakan, Ok bang, nanti saya roger.
Inkuiri Dengan Pihak Astro
Memandangkan babak-babak di atas kurang memberi kepuasan kepada penulis, penulis mula mendapatkan maklumat dengan pihak astro sendiri, yang mana merupakan satu langkah yang betul pada awalnya.
Pada mulanya penulis mengajukan soalan di twitter @astroonline dan pada fans page mereka, Astro (dengan tick biru). Alhamdulillah bagi penulis, kedua-dua ajuan soalan dibalas dengan jawapan yang sama dari curator dah admin yang berbeza.
Pengalaman Pindah Astro Kali Pertama
Tiada caj dikenakan kepada pelanggan Astro Beyond untuk pemindahan. Berbekalkan nama penuh dan nombor akaun astro yang diberikan itulah jawapan yang penulis terima.
Kemudian, penulis diperlukan untuk membalas dengan terima kasih eh bukan lagi, membalas dengan butir-butir peribadi oleh yang ingin dipindahkan aset astronya.
09XXXXXXXX,
Hai . Pemindahan Byond boleh dilakukan secara percuma. Proses pemindahan akan dilakukan dalam tempoh 3-7 hari. Sila berikan maklumat berikut untuk bantuan lanjut.
1. Nama penuh
2. Nombor IC
3. Hubungan dengan pemilik akaun
4. Alamat Lama
5. Alamat Baru
6. Nombor telefon 1
7. Nombor telefon 2
8. Piring dah ditanggalkan / belum?
Di atas merupakan contoh skema soalan yang perlu anda balas untuk simpanan aduan anda kepada pihak astro. Kemudian penulis mendapat balasan sebagaimana di bawah apabila berjaya dengan cemerlang dalam mengisi pertanyaan di atas.
Hai. Nombor laporan adalah 17XXXXXXXX dan juruteknik akan datang dalam tempoh 3 ke 7 hari. Terima kasih.
Dalam tempoh 3 hari dari tarikh penulis membuat aduan mengenai pindahan kontraktor pemasangan astro menelefon penulis bertanyakan tarikh dan waktu sesuai untuk membuat pemindahan. Apabila segalanya dipersetujui, datang dua orang technician yang berpakaian T-Shirt bertuliskan perkataan 'Astro' meneruskan perjuangan penulis dalam memindahkan piring dan dekoder astro ke rumah baharu.
Soalan ke-8 di atas ditanya kerana berkemungkinan mereka yang sudah membuat tanggalan secara solo akan dikenakan bayaran. Pastikan juga jarak untuk diletakan dekoder astro sudah dikenalpasti dengan jayanya kerana penambahan wayar kabel adalah RM 2.50/meter. Manalah tahu tuan/puan sudah tidak mahu menonton televisyen di ruang tamu tetapi di tepi mesin basuh.
Pengajaran untuk penulis adalah, berhubunglah dengan pihak yang ingin kita dapatkan perkhidmatan dahulu, dan jika dalam proses berlaku sebarang ketidakadilan bolehlah salurkan kepada mereka dan apabila tiada sebarang layanan, cara Gabbar diperlukan, viralkan sahaja perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Pengalaman Pindah Astro Kali Kedua dan Seterusnya
Bagi kali kedua pengalaman penulis untuk berpindah berbeza sedikit dari pindah astro kali pertama.
Penulis mendapatkan pertanyaan mengenai pindahan dari facebook astro sendiri.
Berikut adalah maklumat yang diperoleh;
Bermaksud kali kedua penulis perlu membayar RM65 kepada technician yang datang.
Sebagai langkah ekonomi penulis cuba untuk mendapatkan servis pemindahan tanpa melalui astro, namun harga yang dikenakan kontraktor/technician 'freelance' luar yang lain agak tinggi.
Caj Pindahan Astro, Dengan Kontraktor Astro vs Kontraktor Luar
Ada technician yang inginkan sehingga RM120 dan beberapa 'songeh' dari mereka.
Maka mungkin anda sudah boleh meneka antara RM65 dan RM120, mana satu penulis gunakan.
Dengan mengisi segala butiran yang diperlukan, keesokan harinya penulis dihubungi technician pindahan astro untuk menetapkan tarikh servis dijalankan.
Mudah bukan.
Caj Pindahan Piring dan Dekoder Astro
Kesimpulannya, untuk kali pertama pindah dekoder dan piring astro tiada sebarang bayaran penulis dikenakan.
Untuk kali kedua ini penulis memerlukan RM65 untuk pindahan.
Cara Mudah Untuk Dihubungi
Dari pandangan penulis, untuk berurusan dalam urusan ini, gunakan inbox facebook untuk berhubung dengan pihak astro. Lebih cepat balasan dan setakat ini urusan dengan penulis masih lancar.
Penafian; Penulis tidak berpihak kepada mana-mana pihak termasuk pihak astro. Ini adalah artikel pengalaman. Mungkin berlainan dengan situasi netizen lain.
Kini, tiada lagi servis percuma penukaran astro, tidak kira kali pertama atau kali ke berapa, RM65 diperlukan untuk servis ini.
Anda fikir sekali lagi....
Assalamualaikum.
0 Ulasan
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri