Pada satu hari, Nabi Sulaiman as mengumpulkan seluruh pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman as murka kepada Hud-Hud dan bertekad menyembelihnya sebagai hukuman.
Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang telah diwajibkan itu.Hud-Hud menjelaskan kepada Nabi Sulaiman bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman kepada Allah bahkan menyembah matahari. Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Hud-Hud diarahkan untuk menyiasat perkara itu serapi-rapinya dan membawa surat perutusan dari kerajaan Nabi Sulaiman. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya untuk bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya itu. Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi Sulaiman.
“(Demi sesungguhnya) aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, (kecuali) ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebabnya tidak hadir).” (al-Naml:21) Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman as kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi Sulaiman, “...kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas”. Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba’ untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti sengaja mengabaikan perintah pemimpin, mengkhianatinya dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran. Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan yang fatal untuk bersikap tidak wala’ kepada pimpinan, iaitu penyakit ‘susah dikawal’ dan cepat ‘melenting’, atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis untuk buat ‘kepala sendiri’ atau parti baru kerana ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau ‘kawasan’ sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman as, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah. Hud-Hud tetap meletakkan kesetiaan dan ketaatannya kepada Nabi Sulaiman as kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah. Sekalipun Hud-Hud telah melihat kerajaan Saba’, ia bukanlah sandaran untuknya berpaling tadah kepada Balqis. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang baik. Nabi Muhammad saw sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, baginda dikenal lawan dan kawan melalui akhlaknya yang tinggi dan mulia sehingga digelar “al-Amin”. Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman as pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman as dapat dilihat melalui katanya di dalam surah al-Naml ayat 27 : “(Nabi Sulaiman) berkata; kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau (Hud-Hud) katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.” Ketegasan ini menunjukkan kepada kita bahawa setiap pemimpin mestilah jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan oleh anggota organisasinya tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan realitinya “jauh panggang dari api”. Ini kerana informasi yang tepat dan boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visi mampu bergerak laju tanpa ‘tempang’. Itulah yang ditekankan oleh Nabi Sulaiman as, baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya Di dalam surah al-Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman as juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. Nabi Sulaiman as juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang mampu menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud direkodkan di dalam al-Quran kerana “kejujuran”-nya. Selain itu, sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesies burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan khusus. Lang mensilang Kui mengsikui : Manusia bukan manusia, hantu bukan hantu, kerana ia adalah burung Hud-Hud yang begitu jujur kepada Nabi Sulaiman. Kejujuran yang amat sukar ditemui di akhir zaman ini di dalam diri manusia apa lagi hantu. anda fikir anda tahu Kejujuran Burung Hud Hud dan Ketegasan Nabi Sulaiman a.s Mentauhidkan Allah yang Esa ? anda fikir sekali lagi... Assalamualaikum...
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri
2 Ulasan
berat tgjawab pemimpin;)
BalasPadamtak kire pemimpin diri, keluarga mahupun negara!
subhanAllah ...
BalasPadamSemua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri