"Ghani Pasembur"
Dalam dua bulan dua kali penulis dan isteri ke Pulau Pinang yang turut disebut marhaen sebagai Penang.Pulau Pinang selain dari terkenal dengan jambatannya, ya sudah dua buah jambatannya, makanan disana adalah tarikan untuk penggemar makanan.
Pasembur Famous Ghani Padang Brown |
Penulis sudah dua kali memberikan 'review' mengenai tempat makan di Penang.
Salah satunya boleh dimakan (sebagaimana link di atas) dan satu lagi gagal dikunyah oleh penulis mahupun sesiapa sahaja yang berkunjung ke 'restoran' tersebut.
Nasi kandaq dan pasembuq. Dua makanan identiti orang Penang. Nasi kandaq sudah merebak ke serata Malaysia dengan kewujudan kedai-kedai mamak.
Makan Di Mana ?
Namun, pasembuq masih utuh dan setiap berada di Penang. Dalam banyak-banyak gerai yang menjual pasembuq, terdapat satu tempat makan yang boleh dikatakan cukup popular iaitu padang Brown.
Penulis dulu yang pernah belajar di Kuantan, Pahang akan selalu juga makan di padang, di Kuantan, Padang MPK namun di Penang, Padang Brown. Kesan penjajahan masih ada, buktinya perkataan 'Brown'.
Padang Brown bukan sekadar tempat menyepak bola, berlari-larian atau boleh dijadikan kawasan bertumbuk secara sihat akan tetapi Padang Brown Penang terkenal dengan kedai makan ala-ala kedai kaki lima di bahagian penjuru padang.
Pasembur Famous Ghani
Bagi yang mengamalkan pemakanan halal jangan pula tersilap penjuru, nanti umpama menyepak gol ke gawang sendiri. Padang Brown yang natijahnya adalah padang yang petak memiliki sisi hujung ke hujung. Penulis, isteri dan kawan-kawan mencuba satu makanan identiti Penang iaitu pasembuq di Gerai Ghani Pasembuq.
Pasembur Ghani Famous Penang |
Deretan gerai makan yang penulis maksudkan adalah kawasan gerai-gerai makan yang memiliki 'landmark' atau mercu tanda 'PADANG BROWN'.
Segala 'masyarakat' makanan ada disini. Mee Goreng, Mee Sup, Char Kue teow, laksa, masakan goreng-goreng, western food pun ada selain dari pasembur dan rojak sotong kangkung. Terdapat banyak gerai yang menjual pasembur.
Penulis dan kawan-kawan memilih untuk makan di bawah pokok yang agak besar betul-betul menghadap gerai pasembur Ghani Pasembuq.
Harga Pasembur
Dengan skala dan saiz serta meneliti bahan-bahan yang diambil, pasembuq kami berharga RM25/pinggan. Sebagai peneman pasembuq tersebut penulis juga ada mencuba sotong kangkung bersama air 'coconut shake'.
Pasembur dan Coconut Shake |
Kangkung sotong cukup menarik rasanya memandangkan ini kali pertama penulis mencuba. Sotong kenyal (selipar jepun) dan kangkung dicelup bersama kuah rojak. Bayangkan sendiri rasanya. Makanan yang mungkin perlu dicuba kerana pasembuq dan kangkung sotong setakat ini penulis hanya temui di Penang, yang 'original' tidak termasuk yang sudah diadaptasi.
Char Kuey Teow Padang Brown
Sebelum pulang meninggalkan 'kompleks' gerai makan di Padang Brown. Penulis dengan abang 'transporter' dengan tiba-tiba dan tanpa was-was ingin membawa pulang makanan untuk dijadikan menu 'supper'.
Sukar untuk menetapkan menu mana yang bakal dipilih untuk masuk ke dalam perut nanti. Bak kata Wany Hasrita dan Tajul, di sana pasembur disini mee sotong, benarkah ?
Mencari kelainan berbanding dua menu tadi, penulis dan abang transporter membeli dua bungkus char kue teow dengan harga RM5 untuk setiap satu. Sejujurnya agak berlainan 'rekabentuk' atau persembahan char kue teow ini, jika biasa char kue teow adalah gorengan kue teow yang dalam keadaan banjir namun yang ini agak 'kemarau'.
Meskipun kemarau dan ala-ala murtabak bentuknya akan tetapi rasanya tetap terbaik. Sehinggakan terlupa akan kebosanan menunggu feri yang 'delay' kerana pada malam terbabit hanya satu sahaja feri beroperasi. Dengan bertemankan lampu kalimantang di pondok pengawal Terminal Feri Raja Uda, dua bungkus char kue teow yang lengkap dengan kerang dan beberapa ekor udang bersaiz bayi berjaya mengenyangkan perut untuk masa tersebut.
Informasi Pengunjung
Kawasan makan Padang Brown cukup menyenangkan pengunjung, terdapat surau dan tandas yang dijaga elok. Tempat makan yang luas dan meriah. Malahan menjadi tempat singgahan keluarga, dan juga mat-mat moto yang bercuti di Penang.
Alamat
Medan Selera Padang brown
Jalan Perak,
10400 George Town,
Pulau Pinang
Dengan bantuan Waze dan Google Maps dengan carian 'Padang Brown Penang' pasti akan menuju ke jalan kebenaran.
Waktu Operasi
Waktu operasi gerai-gerai di Padang Brown adalah bermula dari jam 5.30 petang sehingga larut malam setiap hari.
Gerai Makan Padang Brown Penang |
Anda fikir anda tahu Makan Pasembur Di Gerai Ghani Pasembur Padang Brown Penang ?
Anda fikir sekali lagi....
Assalamualaikum.
0 Ulasan
Semua komentar adalah tanggungjawab pemberi komentar sendiri sebarang komen yang melanggar tatasusila dan melanggar segala polisi kemanusiaan di internet adalah tanggungjawab pemberi komentar itu sendiri