Makan Asam Pedas Ikan Pari dan Daging Salai Masak Lemak Sedap Di Kedai Asam Pedas Claypot Mendidih


"Claypot Medidih"

Dalam perjalanan menuju ke Umang-umang Chalet terdapat satu kedai makan yang menggerakkan hati penulis untuk singgah. Apa yang menarik perhatian selain dari deretan kenderaan yang berhenti mengerumuni kawasan kedai makan ini adalah kain rentang menunya. Ada ditulis, asam pedas dan daging salai masak lemak. 

Asam pedas Claypot Mendidih
Dua hidangan ini adalah tema untuk dua negeri yang berbeza. Asam pedas terkenal dikalangan orang Melaka, manakala daging salai masak lemak adalah kebanggaan warga Negeri Sembilan.


Memandangkan kedai ini membentangkan kain rentang sebegitu, semestinya itu adalah menu istimewa mereka. Dalam satu kedai terdapat dua makanan tema dua negeri. Tiada yang pelik sebenarnya, kerana kedai ini tidak begitu jauh dengan Sungai Linggi yang memisahkan negeri Melaka dan Negeri Sembilan, tema masakan di sempadan negeri mungkin.

Asam Pedas Dalam Claypot 

Asam pedas dan daging masak salai di kedua-dua negeri ini pada asasnya boleh dikatakan rasa yang agak sama, cuma cara persembahan atau cara unik penyampaian selain dari tahap kepedasan dua hidangan ini yang membezakan hidangan untuk satu-satu kedai.

 Bagi kedai makan yang berada di Jalan Laksamana ini, tema 'claypot menggelegak' menjadi konsepnya. Dua hidangan ini dihidangkan dalam claypot dan dipersembahkan kepada pelanggan ketika beberapa saat dari kuali/periuk yang menyebabkan pengunjung tertarik akan claypot yang berisi asam pedas atau daging salai lemak yang masih menggelegak di atas meja.

Dari konsep inilah kedai makan ini di namakan Kedai Asam Pedas Claypot Mendidih.

Pedas dan panas itu memang adunan kesukaan penulis (namun bukan kegemaran isteri penulis hehe), jika makan apa-apa yang pedas semstinya penulis mendapatkan minuman yang panas, sebagai contoh mi samyang dan teh o panas, memang terbaik. Sama juga dengan kedai makan ini, pedas asam pedas dan kepanasan yang masih 'segar' cukup enak dan boleh dianggap mencabar bibir, lidah dan ruangan mulut. Apalagi didatangkan bersama daging salai masak lemak cili api yang juga pedas dan menggelegak.
Penulis mencuba dua hidangan ini dengan nasi putih dan telur masin. 

Asam Pedas Ikan Pari  


Asam Pedas Ikan Pari Claypot
Asam Pedas Ikan Pari Claypot
Asam pedas di kedai ini cukup sedap dan pedasnya dalam skala sedikit namun panas menggelegak atau mendidih dalam claypot menjadikan rasa pedas suam suam kuku tadi boleh menyebabkan si penghirupnya berpeluh sakan. Asam pedas yang terdapat dalam kedai makan ini adalah pari, ikan kembung, ikan jenahak, dan daging tetel.

Daging Salai Masak Lemak


Daging Salai Masak Lemak Claypot
Daging Salai Masak Lemak Claypot
Di kedai ini secara jujurnya adalah daging salai masak lemaknya lebih sedap, meskipun nama kedai asam pedas bagi penulis dan isteri rasa lemak dan pedas yang ada pada hidangan daging salai masak lemak ini cukup terangkat. Mungkin kerana sudah berada dalam kawasan Nogori Sombilan bangkali. Daging yang empuk, kuah berlemak dan rasa cili padinya boleh di angkat jari tanda thumbs up.

Harga Hidangan Asam Pedas

Selain dari dua hidangan 'signature' kedai ini, kedai yang dibuka hanya pada sebelah siang ini ada menghidangkan nasi campur. Pelbagai pilihan lauk tidak semestinya dua hidangan tadi. Penulis dan isteri membayar RM18 untuk satu claypot asam pedas ikan pari, satu claypot daging salai masak lemak, satu manggo float, dua nasi putih, dan segelas teh o ais limau.

Manggo Float

Bagi menghilangkan rasa pedas dan panas yang memberikan ketagihan ini atau untuk merehatkan semula deria rasa di bahagian mulut, air manggo float yang berharga RM4.50 turut dijual sebagai hidangan 'cooling down'. Nak rasa meatball di kedai asam pedas ? Juga ada disini dengan nama ocobot meatball, sesuai bagi peminat boboiboy.

Informasi Pengunjung

Tidak begitu susah untuk datang ke lokasi kedai makan ini kerana betul-betul di tepi jalan, Jalan Pasir Panjang - Kuala Linggi. 

Alamat

Jalan Pasir Panjang-Kuala Linggi
Batu Melintang, 
71150 Linggi, 
Negeri Sembilan



Sebelum jambatan Sungai Linggi jika dari arah Port Dickson dan sebaliknya jika dari arah jalan Pantai dari bandar Melaka. Boleh di waze atau google maps dengan tag 'Kedai Asam pedas Claypot Mendidih Linggi'.



Waze Lokasi Asam Pedas Claypot Mendidih
Waktu Operasi Asam Pedas Claypot

Dibuka setiap hari kecuali hari khamis. Mula beroperasi pada jam 12 tengah hari sehingga 11 malam. Memandangkan sehingga 11 malam, mungkin terdapat masakan panas atau tom yam, ini jangkaan penulis sahaja kerana penulis mencuba hidangan ini ketika siang hari.

Parkir Kenderaan

Terdapat kawasan khas untuk parkir yang disediakan, agak sederhana luas. Boleh menempatkan 10 buah kereta sedan dalam satu masa.

Anda fikir anda tahu Makan Asam Pedas Ikan Pari dan Daging Salai Masak Lemak Sedap Di Kedai Asam Pedas Claypot Mendidih ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan